Johari Yap minat Islam menerusi ibadat puasa

..
Oleh ZUARIDA MOHYIN, 7 december 2006,
Utusan Malaysia


Johari Yap (tengah) sekeluarga bersama keluarga kandungnya. Ibu bapanya (dua dan tiga dari kanan) reda dengan pengislaman anak sulung mereka.


DUGAAN dan cabaran adalah lumrah dalam kehidupan setiap insan di muka bumi ini, apatah lagi bagi mereka yang bergelar saudara baru atau mualaf. Hakikat ini turut diperakui Pegawai Perhubungan di Yayasan Orang Kurang Upaya (OKU) Kelantan, Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Johari Abdullah @ Yap Guan Kheng atau lebih dikenali dengan panggilan Johari Yap.
Menurut anak kelahiran Wakaf Bharu ini lagi, beliau tidak menghadapi masalah sebelum pengislaman memandangkan tinggal berjauhan daripada ibu bapa. Namun selepas memeluk Islam bermulalah episod peritnya, kira-kira 10 tahun lalu.
“Saya terpaksa berhenti kerja di Kuala Lumpur dan tinggal dengan bapa saudara di Batu Pahat, Johor selama lebih kurang setahun. Setelah keadaan agak reda, saya kembali semula ke Kuala Lumpur. Pada masa itu, walaupun tidak timbul ketegangan namun hubungan dengan keluarga kandung sudah tidak semesra dahulu.
“Sungguhpun keluarga tidak lagi memberi tekanan kepada saya, bahananya beralih kepada kedua-dua ibu bapa saya. Mereka dituduh tidak pandai mendidik satu-satunya anak lelaki sehingga sanggup bertukar agama. Ini kerana, saya adalah anak lelaki sulung daripada empat adik-beradik.
“Sementara itu, orang Melayu Islam pula cuba ‘meMelayukan’ saya. Apabila saya cuba mengekalkan identiti Cina, akan dituduh tidak Islamik. Jika terlebih keMelayuan pula, keluarga dan rakan-rakan Cina yang lain menuduh kita sudah masuk Melayu, bukan masuk Islam.
Dilema inilah yang menyebabkan saya seringkali serba salah,” katanya bersyukur berjaya mengharunginya dengan adanya Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).
Pun begitu, tegas Johari Yap, 31, sebagai seorang saudara baru, dugaan dan cabaran yang timbul merupakan asam garam dalam menempuh hari-hari yang mendatang.
Beliau cuba berkongsi situasi genting yang dihadapinya acap kali tibanya sambutan Tahun Baru Cina di mana acara ‘makan besar’ bersama keluarga menjadi kemestian. Tambahan pula, kebiasaannya salah satu menu penting pada malam tersebut adalah daging khinzir.
“Tetapi jika tidak hadir, kesannya lebih besar seolah-olah saya cuba membelakangkan keluarga. Akhirnya saya tawakal dan menghadirinya. Pada malam itu, saya hanya menyentuh juadah berasaskan sayur-sayuran atau ulaman sahaja.
Alhamdulillah, apabila pakcik menyuruh saya menyembelih ayam kampung untuk dimasak, saya dapat mengagak bahawa keadaan akan berubah.
“Sangkaan saya benar apabila pada majlis makan besar itu, tiada daging khinzir yang disajikan. Sama ada mereka menyorok ataupun langsung tidak ada, itu tidak penting. Yang pasti, mereka menghormati saya sebagai orang Islam.
“Selain itu, ada pula orang Islam yang memberikan nasihat seperti: “Kalau balik rumah, jangan minum air yang disediakan ibu kamu kerana bimbang gelas yang digunakan itu pernah diisikan dengan air arak”.
Cuba bayangkan perasaan ibu apabila anak sudah tidak mahu minum air yang disediakannya hanya kerana berbeza agama. Kalau begitu, lebih baik tidak balik ke rumah, kalau akan menyakitkan hatinya.
“Sebenarnya, mereka yang memberikan nasihat-nasihat seperti ini, ramai berada di luar sana. Mungkin mereka yang memberikan nasihat ini tidak mempunyai saudara mara yang bukan Islam atau tidak mempunyai rakan-rakan yang bukan Islam.
Mereka ini lebih mementingkan fikah berbanding uslub dakwah,” kata Johari Yap dalam balasan e-melnya kepada penulis.
Berkongsi pula kisah ‘penghijrahan’ akidahnya, cerita anak kepada pasangan Yap Beng Chui dan Goh Sa Huay, selama enam tahun bersekolah di SRK Wakaf Bharu, beliau tinggal dengan nenek yang beragama Kristian Seventh Day Adventist (SDA) yang mana daging khinzir adalah haram.
Sejak kecil, Johari Yap sudah tidak menjamah daging khinzir lagi. Manakala, ibu yang beragama Buddha dan bapa yang berfahaman Kristian, memberi pilihan kepadanya untuk memilih antara dua agama tersebut.
“Apabila melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di Maktab Tentera Diraja (RMC) Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 1988, saya mula belajar berpuasa walaupun untuk separuh hari demi menyahut cabaran seorang rakan. Saya berjaya berpuasa penuh sewaktu di tingkatan tiga walaupun banyak rintangan yang ditempuhi seperti latihan kawad dan ketenteraan.
“Tidak kurang juga cemuhan daripada rakan-rakan Muslim yang mengatakan saya membuang masa kerana tidak dapat pahala kecuali lapar dan dahaga. Walau bagaimanapun, saya hanya berpuasa di RMC, apabila pulang bercuti, saya tidak berkesempatan berpuasa,” katanya.
Penghayatan Islam semakin serius dengan galakan seorang rakan yang juga seorang Cina Muslim generasi ketiga, Zubir Lee Yew Weng.
“Saya berjaya berpuasa penuh sebulan Ramadan pada 1992 semasa di tingkatan lima di RMC.
Saya mengikuti Zubir Lee ke kampungnya di Kuching, Sarawak selama seminggu sempena Hari Raya Puasa. Di situlah, buat pertama kali saya diajar makan ikan menggunakan chopstick dan melihat cara hidup Cina Muslim di sana.
“Sebagai seorang Cina yang berasal dari kampung di Kelantan, makan dengan menggunakan tangan adalah satu kebiasaan dan bukan pelik untuk melihat orang Cina Kelantan tidak pandai menggunakan chopstick,” terang Johari Yap yang mendapat bimbingan secara tidak langsung daripada salah seorang guru di RMC, Hafizul Ong Abdullah.
Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau melanjutkan pelajaran peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Chung Hwa, Kota Bharu. Sebaik tamat peperiksaan STPM, beliau ke Kuala Lumpur untuk membantu rakan, Zubir Lee yang membuka cawangan perniagaan bapanya di Kuala Lumpur pada 1995.
Sewaktu di Kuala Lumpur, beliau mengambil kesempatan berkhatan biarpun masih belum berani bergelar Muslim.
Setahun kemudian, barulah beliau menyuarakan hasrat memeluk Islam. Tarikh 2 Mac 1996 adalah detik keramat dalam diari kehidupan Johari Yap kerana hari itulah beliau melafazkan syahadah di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Beliau ditemankan Zubir Lee dan Brig. Jen. (B) Datuk Mohd Shukor, yang juga merupakan bekas pelajar RMC.
Akui Johari Yap lagi, boleh dikatakan minatnya terhadap Islam timbul apabila dapat merasai nikmat berpuasa lebih-lebih lagi dirinya adalah jenis orang yang tidak boleh menahan lapar.
Selepas bergelar Muslim, akuinya, perasaan gementar masih wujud kerana tidak pasti kemampuannya menjadi seorang Muslim yang baik.
Persoalan yang sentiasa bermain di benaknya ketika itu ialah, “Bolehkah aku menunaikan sembahyang lima kali sehari sedangkan sejak 21 tahun lepas aku tidak pernah bersembahyang?"
Alhamdulillah dengan bimbingan ustaz-ustaz di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Wilayah Persekutuan ketika itu serta Ustaz Zainuddin dari Masjid Shah Alam, perasaan gementar itu hilang dan digantikan dengan perasaan tenang.
Malah beliau juga bersyukur kerana menerima pendidikan Jawi sepanjang bersekolah rendah dan ini banyak membantu dalam pengajian al-Qurannya.
“Tiga minggu selepas pengislaman, saya telah bertemu Dr. Norsila Abdul Wahab di Hospital Seremban. Perkenalan itu berakhir ke jinjang pelamin. Kini kami dikurniakan sepasang anak yang masing-masing berumur 6 dan 3 tahun, Mikhael dan Misha. Isteri dan anak-anak adalah hadiah terbaik anugerah daripada Yang Maha Kuasa.
“Sebelum memeluk Islam, saya amat rapat dengan ibu. Keadaan menjadi agak renggang setelah saya memeluk Islam tetapi pulih setelah saya mendapat anak. Semuanya bermula sewaktu mengikuti isteri yang melanjutkan pelajaran di London.
“Kami kembali ke Kelantan pada 2002, Mikhael diajar untuk memanggil ‘Akong’ kepada datuknya dan ‘Ama’ pada neneknya. Cucu lelaki sulung inilah merupakan pengikat kepada hubungan anak dan ibu bapanya,” katanya.
Kini Mikhael bersekolah tadika di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Peir Chih, Kota Bharu.
Sekarang, keadaan menjadi lebih baik kerana Islam menyuruh umatnya menghormati ibu walaupun berlainan agama. Beliau cuba memberikan kasih sayang kepada ibu bapa melebihi daripada sebelum memeluk Islam.
Beliau ingin menonjolkan nilai-nilai murni dalam Islam melalui contoh yang baik ataupun dakwah Bil-Hal.
Malah isteri yang juga pensyarah Pergigian di Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan, Kubang Kerian banyak membantu memahami sekali gus membina hubungan rapat dengan mentua.
Di samping itu, ibunya amat berhati-hati mengenai makanan sehinggakan akan mencari logo halal jika ingin membelikan makanan untuk cucu-cucunya apabila berkunjung ke rumah Johari Yap. Jarak rumahnya di Kampung Beris Kubur Besar, Bachok dengan rumah keluarga di Kampung Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat ialah kira-kira satu jam perjalanan.
Nasihatnya kepada saudara baru, hormatilah ibu bapa kandung. Sayangilah mereka sebagaimana mereka membesarkan kita.
“Ibu bapa mana yang tidak sedih dengan pengislaman anak mereka. Terdapat kes di kampung saya di mana mereka yang memeluk Islam memutuskan hubungan sehingga berpuluh tahun lamanya dan ada juga yang terus menghilangkan diri.
Ada pula yang berasa jijik untuk pulang atau makan minum di rumah sedangkan di situlah dia membesar.
“Ada pula menjadi terlebih ‘alim’ sehingga tidak mahu berbahasa Cina kerana itu adalah bahasa tidak Islamik berbanding dengan bahasa Arab ataupun Melayu.
Ini adalah contoh yang tidak sihat dan tidak membantu dalam usaha dakwah Islamiah kepada bangsa Cina. Jika bukan disebabkan oleh sebab-sebab itu, mungkin keluarga saya tidak menentang atau mereka sekadar sedih sahaja,” katanya yang turut aktif sebagai Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Perkim Kebangsaan, Setiausaha Kehormat Macma, Cawangan Kelantan dan ahli jawatankuasa (AJK) Unit Hal Ehwal Saudara Baru, Islamic Outreach ABIM Kelantan.
Kini, Johari Yap bercita-cita mempelajari bahasa Mandarin dan memberi kefahaman Islam kepada seramai mungkin orang Cina yang bukan Islam. Mereka tidak menentang Islam atau memusuhi Islam, cuma mereka kurang faham mengenai Islam. Bahasa Hokkien yang digunakan ini hanya digunakan di Kelantan sahaja.
“Saya menjadi ahli Perkim dan Macma sejurus memeluk Islam. Di dalam persatuan ini saya dapat ramai kenalan Cina Muslim untuk bertukar-tukar pendapat serta berkongsi masalah.
Saya banyak memberi kaunseling kepada mereka yang ingin memeluk Islam serta baru memeluk Islam. Hubungan sesama ahli Macma di Kelantan amat rapat dan pada 31 Ogos lalu, kami mengadakan program Hari Keluarga Macma di Pulau Perhentian yang melibatkan 85 ahli dan keluarga.
“Peristiwa paling manis ialah diberi tanggungjawab mengIslamkan seorang gadis Cina oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan pada Ramadan tahun ini.
.

No comments:

Post a Comment