Islam, Bangsa dan Keluarga

.
Memeluk Islam bukan bermakna masuk-Melayu atau masuk-Arab. Memeluk Islam juga bukan bermakna membuang keluarga.

Islam ialah pegangan agama untuk ketenangan di dunia dan ketenangan di akhirat. Adat budaya yang halal harus diteruskan dan kasih-sayang keluarga mesti terus dipupuk. Itu terkandung dalam Al-Quran dan Hadis.

Seperti kata Johari Abdullah @ Yap Guan Kheng atau lebih dikenali dengan panggilan Johari Yap:

“Sebelum memeluk Islam, saya amat rapat dengan ibu. Keadaan menjadi agak renggang setelah saya memeluk Islam tetapi pulih setelah saya mendapat anak. Kami kembali ke Kelantan pada 2002, Mikhael diajar untuk memanggil ‘Akong’ kepada datuknya dan ‘Ama’ pada neneknya. Cucu lelaki sulung inilah merupakan pengikat kepada hubungan anak dan ibu bapanya,” katanya.

Sekarang, keadaan menjadi lebih baik kerana Islam menyuruh umatnya menghormati ibu walaupun berlainan agama. Beliau cuba memberikan kasih sayang kepada ibu bapa melebihi daripada sebelum memeluk Islam.

~ Wawancara bersama Johari Yap ,
~ Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) ,
~ Chinese Muslims @ google .
.

Johari Yap minat Islam menerusi ibadat puasa

..
Oleh ZUARIDA MOHYIN, 7 december 2006,
Utusan Malaysia

Johari Yap (tengah) sekeluarga bersama keluarga kandungnya. Ibu bapanya (dua dan tiga dari kanan) reda dengan pengislaman anak sulung mereka.



DUGAAN dan cabaran adalah lumrah dalam kehidupan setiap insan di muka bumi ini, apatah lagi bagi mereka yang bergelar saudara baru atau mualaf. Hakikat ini turut diperakui Pegawai Perhubungan di Yayasan Orang Kurang Upaya (OKU) Kelantan, Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Johari Abdullah @ Yap Guan Kheng atau lebih dikenali dengan panggilan Johari Yap.

Menurut anak kelahiran Wakaf Bharu ini lagi, beliau tidak menghadapi masalah sebelum pengislaman memandangkan tinggal berjauhan daripada ibu bapa. Namun selepas memeluk Islam bermulalah episod peritnya, kira-kira 10 tahun lalu.

“Saya terpaksa berhenti kerja di Kuala Lumpur dan tinggal dengan bapa saudara di Batu Pahat, Johor selama lebih kurang setahun. Setelah keadaan agak reda, saya kembali semula ke Kuala Lumpur. Pada masa itu, walaupun tidak timbul ketegangan namun hubungan dengan keluarga kandung sudah tidak semesra dahulu.

“Sungguhpun keluarga tidak lagi memberi tekanan kepada saya, bahananya beralih kepada kedua-dua ibu bapa saya. Mereka dituduh tidak pandai mendidik satu-satunya anak lelaki sehingga sanggup bertukar agama. Ini kerana, saya adalah anak lelaki sulung daripada empat adik-beradik.

“Sementara itu, orang Melayu Islam pula cuba ‘meMelayukan’ saya. Apabila saya cuba mengekalkan identiti Cina, akan dituduh tidak Islamik. Jika terlebih keMelayuan pula, keluarga dan rakan-rakan Cina yang lain menuduh kita sudah masuk Melayu, bukan masuk Islam.

Dilema inilah yang menyebabkan saya seringkali serba salah,” katanya bersyukur berjaya mengharunginya dengan adanya Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

Pun begitu, tegas Johari Yap, 31, sebagai seorang saudara baru, dugaan dan cabaran yang timbul merupakan asam garam dalam menempuh hari-hari yang mendatang.

Beliau cuba berkongsi situasi genting yang dihadapinya acap kali tibanya sambutan Tahun Baru Cina di mana acara ‘makan besar’ bersama keluarga menjadi kemestian. Tambahan pula, kebiasaannya salah satu menu penting pada malam tersebut adalah daging khinzir.

“Tetapi jika tidak hadir, kesannya lebih besar seolah-olah saya cuba membelakangkan keluarga. Akhirnya saya tawakal dan menghadirinya. Pada malam itu, saya hanya menyentuh juadah berasaskan sayur-sayuran atau ulaman sahaja.

Alhamdulillah, apabila pakcik menyuruh saya menyembelih ayam kampung untuk dimasak, saya dapat mengagak bahawa keadaan akan berubah.

“Sangkaan saya benar apabila pada majlis makan besar itu, tiada daging khinzir yang disajikan. Sama ada mereka menyorok ataupun langsung tidak ada, itu tidak penting. Yang pasti, mereka menghormati saya sebagai orang Islam.

“Selain itu, ada pula orang Islam yang memberikan nasihat seperti: “Kalau balik rumah, jangan minum air yang disediakan ibu kamu kerana bimbang gelas yang digunakan itu pernah diisikan dengan air arak”.

Cuba bayangkan perasaan ibu apabila anak sudah tidak mahu minum air yang disediakannya hanya kerana berbeza agama. Kalau begitu, lebih baik tidak balik ke rumah, kalau akan menyakitkan hatinya.

“Sebenarnya, mereka yang memberikan nasihat-nasihat seperti ini, ramai berada di luar sana. Mungkin mereka yang memberikan nasihat ini tidak mempunyai saudara mara yang bukan Islam atau tidak mempunyai rakan-rakan yang bukan Islam.

Mereka ini lebih mementingkan fikah berbanding uslub dakwah,” kata Johari Yap dalam balasan e-melnya kepada penulis.

Berkongsi pula kisah ‘penghijrahan’ akidahnya, cerita anak kepada pasangan Yap Beng Chui dan Goh Sa Huay, selama enam tahun bersekolah di SRK Wakaf Bharu, beliau tinggal dengan nenek yang beragama Kristian Seventh Day Adventist (SDA) yang mana daging khinzir adalah haram.

Sejak kecil, Johari Yap sudah tidak menjamah daging khinzir lagi. Manakala, ibu yang beragama Buddha dan bapa yang berfahaman Kristian, memberi pilihan kepadanya untuk memilih antara dua agama tersebut.

“Apabila melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di Maktab Tentera Diraja (RMC) Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 1988, saya mula belajar berpuasa walaupun untuk separuh hari demi menyahut cabaran seorang rakan. Saya berjaya berpuasa penuh sewaktu di tingkatan tiga walaupun banyak rintangan yang ditempuhi seperti latihan kawad dan ketenteraan.

“Tidak kurang juga cemuhan daripada rakan-rakan Muslim yang mengatakan saya membuang masa kerana tidak dapat pahala kecuali lapar dan dahaga. Walau bagaimanapun, saya hanya berpuasa di RMC, apabila pulang bercuti, saya tidak berkesempatan berpuasa,” katanya.

Penghayatan Islam semakin serius dengan galakan seorang rakan yang juga seorang Cina Muslim generasi ketiga, Zubir Lee Yew Weng.

“Saya berjaya berpuasa penuh sebulan Ramadan pada 1992 semasa di tingkatan lima di RMC.

Saya mengikuti Zubir Lee ke kampungnya di Kuching, Sarawak selama seminggu sempena Hari Raya Puasa. Di situlah, buat pertama kali saya diajar makan ikan menggunakan chopstick dan melihat cara hidup Cina Muslim di sana.

“Sebagai seorang Cina yang berasal dari kampung di Kelantan, makan dengan menggunakan tangan adalah satu kebiasaan dan bukan pelik untuk melihat orang Cina Kelantan tidak pandai menggunakan chopstick,” terang Johari Yap yang mendapat bimbingan secara tidak langsung daripada salah seorang guru di RMC, Hafizul Ong Abdullah.

Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau melanjutkan pelajaran peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Chung Hwa, Kota Bharu. Sebaik tamat peperiksaan STPM, beliau ke Kuala Lumpur untuk membantu rakan, Zubir Lee yang membuka cawangan perniagaan bapanya di Kuala Lumpur pada 1995.

Sewaktu di Kuala Lumpur, beliau mengambil kesempatan berkhatan biarpun masih belum berani bergelar Muslim.

Setahun kemudian, barulah beliau menyuarakan hasrat memeluk Islam. Tarikh 2 Mac 1996 adalah detik keramat dalam diari kehidupan Johari Yap kerana hari itulah beliau melafazkan syahadah di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Beliau ditemankan Zubir Lee dan Brig. Jen. (B) Datuk Mohd Shukor, yang juga merupakan bekas pelajar RMC.

Akui Johari Yap lagi, boleh dikatakan minatnya terhadap Islam timbul apabila dapat merasai nikmat berpuasa lebih-lebih lagi dirinya adalah jenis orang yang tidak boleh menahan lapar.

Selepas bergelar Muslim, akuinya, perasaan gementar masih wujud kerana tidak pasti kemampuannya menjadi seorang Muslim yang baik.

Persoalan yang sentiasa bermain di benaknya ketika itu ialah, “Bolehkah aku menunaikan sembahyang lima kali sehari sedangkan sejak 21 tahun lepas aku tidak pernah bersembahyang?"

Alhamdulillah dengan bimbingan ustaz-ustaz di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Wilayah Persekutuan ketika itu serta Ustaz Zainuddin dari Masjid Shah Alam, perasaan gementar itu hilang dan digantikan dengan perasaan tenang.

Malah beliau juga bersyukur kerana menerima pendidikan Jawi sepanjang bersekolah rendah dan ini banyak membantu dalam pengajian al-Qurannya.

“Tiga minggu selepas pengislaman, saya telah bertemu Dr. Norsila Abdul Wahab di Hospital Seremban. Perkenalan itu berakhir ke jinjang pelamin. Kini kami dikurniakan sepasang anak yang masing-masing berumur 6 dan 3 tahun, Mikhael dan Misha. Isteri dan anak-anak adalah hadiah terbaik anugerah daripada Yang Maha Kuasa.

“Sebelum memeluk Islam, saya amat rapat dengan ibu. Keadaan menjadi agak renggang setelah saya memeluk Islam tetapi pulih setelah saya mendapat anak. Semuanya bermula sewaktu mengikuti isteri yang melanjutkan pelajaran di London.

“Kami kembali ke Kelantan pada 2002, Mikhael diajar untuk memanggil ‘Akong’ kepada datuknya dan ‘Ama’ pada neneknya. Cucu lelaki sulung inilah merupakan pengikat kepada hubungan anak dan ibu bapanya,” katanya.

Kini Mikhael bersekolah tadika di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Peir Chih, Kota Bharu.

Sekarang, keadaan menjadi lebih baik kerana Islam menyuruh umatnya menghormati ibu walaupun berlainan agama. Beliau cuba memberikan kasih sayang kepada ibu bapa melebihi daripada sebelum memeluk Islam.

Beliau ingin menonjolkan nilai-nilai murni dalam Islam melalui contoh yang baik ataupun dakwah Bil-Hal.

Malah isteri yang juga pensyarah Pergigian di Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan, Kubang Kerian banyak membantu memahami sekali gus membina hubungan rapat dengan mentua.

Di samping itu, ibunya amat berhati-hati mengenai makanan sehinggakan akan mencari logo halal jika ingin membelikan makanan untuk cucu-cucunya apabila berkunjung ke rumah Johari Yap. Jarak rumahnya di Kampung Beris Kubur Besar, Bachok dengan rumah keluarga di Kampung Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat ialah kira-kira satu jam perjalanan.

Nasihatnya kepada saudara baru, hormatilah ibu bapa kandung. Sayangilah mereka sebagaimana mereka membesarkan kita.

“Ibu bapa mana yang tidak sedih dengan pengislaman anak mereka. Terdapat kes di kampung saya di mana mereka yang memeluk Islam memutuskan hubungan sehingga berpuluh tahun lamanya dan ada juga yang terus menghilangkan diri.

Ada pula yang berasa jijik untuk pulang atau makan minum di rumah sedangkan di situlah dia membesar.

“Ada pula menjadi terlebih ‘alim’ sehingga tidak mahu berbahasa Cina kerana itu adalah bahasa tidak Islamik berbanding dengan bahasa Arab ataupun Melayu.

Ini adalah contoh yang tidak sihat dan tidak membantu dalam usaha dakwah Islamiah kepada bangsa Cina. Jika bukan disebabkan oleh sebab-sebab itu, mungkin keluarga saya tidak menentang atau mereka sekadar sedih sahaja,” katanya yang turut aktif sebagai Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Perkim Kebangsaan, Setiausaha Kehormat Macma, Cawangan Kelantan dan ahli jawatankuasa (AJK) Unit Hal Ehwal Saudara Baru, Islamic Outreach ABIM Kelantan.

Kini, Johari Yap bercita-cita mempelajari bahasa Mandarin dan memberi kefahaman Islam kepada seramai mungkin orang Cina yang bukan Islam. Mereka tidak menentang Islam atau memusuhi Islam, cuma mereka kurang faham mengenai Islam. Bahasa Hokkien yang digunakan ini hanya digunakan di Kelantan sahaja.

“Saya menjadi ahli Perkim dan Macma sejurus memeluk Islam. Di dalam persatuan ini saya dapat ramai kenalan Cina Muslim untuk bertukar-tukar pendapat serta berkongsi masalah.

Saya banyak memberi kaunseling kepada mereka yang ingin memeluk Islam serta baru memeluk Islam. Hubungan sesama ahli Macma di Kelantan amat rapat dan pada 31 Ogos lalu, kami mengadakan program Hari Keluarga Macma di Pulau Perhentian yang melibatkan 85 ahli dan keluarga.

“Peristiwa paling manis ialah diberi tanggungjawab mengIslamkan seorang gadis Cina oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan pada Ramadan tahun ini.

.

Ayub Abdul Rahman dulu paderi kini Daie

Oleh: SITI AINIZA KAMSARI

PADA 8 Ogos tahun lalu, seluruh umat Islam amat merasai kehilangan ulama besar dan pendakwah terkemuka Sheikh Ahmed Hossen Deedat yang meninggal dunia dalam usia 87 tahun. Ramai beranggapan tidak akan ada Ahmed Deedat yang kedua selepas kematiannya itu.

Hanya Allahyarham sahaja yang mampu berdialog mengenai soal ajaran Kristian dan kitab Bible bagi tujuan menyerlahkan lagi kebenaran ajaran Islam itu sendiri.

Namun pertemuan penulis dengan seorang lagi pendakwah baru-baru ini tidak syak lagi mampu membuka lembaran baru mengenai 'kemunculan' atau pengganti Ahmed Deedat walaupun mungkin tidak sehebat Allahyarham.

Bahkan lebih menariknya, Ustaz Ayub Abdul Rahman 59, sendiri dahulunya seorang seorang pendita atau Paderi Besar Kristian yang lebih dikenali sebagai Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam dan pernah berkhidmat di Gereja St. Augustine of Canterbury, Frankfurter Jerman selama hampir 10 tahun.

Gereja tersebut atau lebih dikenali sebagai Englische Kirche (Gereja Inggeris) merupakan satu-satunya gereja di Jerman yang menggunakan medium Bahasa Inggeris yang beraliran Anglican Episcopal Church. Ia sering menjadi tumpuan penganut Kristian terutamanya dari Amerika Syarikat dan Britain serta lain-lain negara Eropah.

Bagaikan jauhari mengenal manikam. Ayub adalah tokoh yang selayaknya memperkatakan ajaran Kristian dan amat mengetahui semua isi dan selok belok kitab Injil itu.

Namun sehebat itu juga pengetahuan dan amalannya kini terhadap Islam, tidak ada sesiapa dapat mempertikaikan sehinggakan orang ramai tidak ragu-ragu memanggilnya “Ustaz” mahupun “Tuan Haji Ayub”.

Komitmen beliau yang begitu padu terhadap Islam terutama dalam gerakan dakwah dan kebajikan Islam mendapat penghargaan banyak pihak dan terbaru, beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak (Saudara Baru) 2005.

Beliau mempunyai fasa-fasa hidup yang cukup menarik bermula dari seorang yang begitu mengabadikan diri terhadap Kristian, akhirnya dilimpahkan dengan nur dan hidayah Allah untuk memeluk Islam pada 4 September 1978.

“Saya telah mempunyai kehidupan yang begitu sempurna semasa menjadi paderi” katanya ketika ditemui di Yayasan Jenderami, Dengkil, Sepang di Selangor baru-baru ini.

Kesempurnaan yang dinikmati dalam institusi gereja itu membolehkan Anthony mengecap kesenangan dalam hidup.

“Segala-galanya disediakan dan diberi percuma oleh pihak gereja. Daripada orang yang akan membasuhkan tandas kita sehinggalah pemandu dengan kenderaan mewah untuk membawa saya ke mana sahaja.

“Ini tidak termasuk tiket-tiket penerbangan kelas pertama ke hampir seluruh pelusuk dunia. Jadi saya tidak ada masalah sepanjang berkhidmat untuk gereja kerana apa sahaja yang dihajati akan segera dipenuhi,” katanya yang telah menjejaki 22 negara bagi menjayakan misionari Kristiannya.

Tugas sebagai Biecht-vader iaitu mengampunkan penganut Kristian yang berdosa turut memberikan kepuasan kepada jiwa Anthony ketika itu. Pernah kata Ayub, beliau diminta mengampunkan penghuni kubur atas permintaan keluarga si mati.

Sehinggalah pada suatu hari berdasarkan pembacaan kitab Bible, perasaan beliau yang setenang air di kali selama ini mula terganggu. “Tanpa seseorang itu dibaptiskan, tidak memungkinkan seseorang itu menghuni syurga!”

“Apabila saya terbaca ayat itu, hati saya begitu terusik. Ini kerana secara tiba-tiba saya terkenangkan jiran-jiran saya di Kampung Pelanduk Jatuh, Bukit Mertajam Pulau Pinang.

“Mereka merupakan jiran yang sangat baik. Sehinggakan saya masih ingat walaupun mereka menjalani ibadat puasa Ramadan, kami sekeluarga adalah orang pertama yang akan menerima juadah berbuka puasa mereka.

“Mereka tidak akan berbuka selagi kami tidak menerima juadah tersebut walaupun kami bukannya beragama Islam. Ia memang satu situasi yang mengharukan.

“Begitu juga apabila ada ahli keluarga saya sakit dan memerlukan rawatan segera ke hospital, jiran-jiran Melayu saya inilah yang akan bersusah payah menggunakan kenderaan mereka untuk membawa kami ke hospital dan mereka tidak pernah berkira.

“Saya kira mereka merupakan jiran terbaik yang pernah saya jumpa” kata Ayub.

Apabila mengenangkan kebaikan jiran-jirannya itu dan ajaran Kristian, Anthony begitu terusik kerana kebaikan mereka itu akan berakhir dengan masuk ke neraka!

“Saya benar-benar sedih kerana mereka ini tidak pernah dibaptiskan maka tentunya mereka tidak akan layak masuk ke syurga Allah.

“Sehinggakan buat pertama kali saya memperkenalkan sembahyang malam yang sebelum ini tidak ada dalam cara orang Kristian beribadat. Ini kerana saya benar-benar memerlukan jawapan mengenai persoalan ini,” jelasnya.

Oleh kerana memiliki kunci pintu gereja maka pada suatu malam, dihadapan altar beliau sembahyang dan ‘merayu’ kepada tuhan supaya jiran-jirannya itu dikecualikan daripada memasuki neraka.

Namun bagi Anthony sudah sampai tahap dan masa untuknya mengubah akidah umat Islam itu sendiri.

Lantas beliau memohon kebenaran pihak gereja untuk mengkaji dan mendalami al-Quran yang bakal dijadikan senjata untuk melumpuh dan melemahkan umat Islam itu sendiri.

Permintaan Anthony segera dipenuhi malah pada tahun 1973 beliau dihantar ke Millhill Missionary Institute di utara London bagi membolehkan paderi ini mempelajari Islam sebanyak mana yang beliau mahu.

“Pada mulanya untuk selama tiga bulan, tetapi saya lanjutkan sehingga enam bulan kerana telah direncanakan oleh tuhan, saya tidak menemui apa yang dicari kecuali jika terus mencari apa yang ditemui hanyalah keindahan Islam.

“Tiada kecacatan langsung mengenai Islam malah kalau ada 10 kitab al-Quran yang didatangkan dari mana-mana negara di hadapan saya. Baik sama ada dari Afrika, Asia malah dari Eropah sendiri, yang saya jumpa hanyalah ayat-ayat yang sama.

“Kata-kata Allah itu begitu terpelihara dan tidak berubah oleh sebarang tokok tambah dan pengurangan. Malah nama agama itu sendiri, memang ada tertulis di dalam al-Quran dan makna dari ayat 85 Surah al-Imraan benar-benar mengejutkan saya sehingga saya menjadi lebih ketakutan.

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Al- Imraan: 85)

“Jadi, siapa sebenarnya yang akan rugi di hari akhirat kelak?,” katanya.

Menurut Ayub, adalah tidak mudah sebenarnya untuk beliau menerima Islam kerana dirinya sangat berpengetahuan dalam ajaran Injil itu sendiri sehinggakan banyak mengunjungi tempat suci orang Kristian di seluruh dunia. Peluang yang tidak diperolehi oleh penganut lain.

“Ditambah dengan persekitaran hidup dalam biara dan sentiasa dipantau oleh pihak gereja sehinggalah oleh pihak Vatican di Itali,” katanya.

Namun 4 September 1978 mencatatkan tarikh yang bersejarah apabila paderi ini akhirnya dengan seikhlas hati mengakui keesaan Allah s.w.t sebagai tuhan yang satu yang tidak disekutukan dengan mana-mana makhluk lain termasuk Nabi Isa a.s.

Beliau diIslamkan di bumi Sarawak sebagai saksi dengan dibantu oleh Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, Tun Patinggi Abdul Rahman Yaacob.

“Jadi, tahulah anda dari mana saya mendapat nama Abdul Rahman selepas saya memilih Ayub sebagai nama Islam saya,” katanya.

Rupa-rupanya tindakan Ayub memeluk Islam itu bukan sahaja menimbulkan kejutan kepada banyak pihak namun yang lebih tidak sangka-sangka sehingga membahayakan nyawanya pada masa itu.

“Tidak dapat dilupakan bagaimana takut dan ngerinya saya pada masa itu apabila rumah yang saya diami dibaling orang dengan ketulan-ketulan batu.

“Tidak sangka tindakan saya memeluk Islam tidak disenangi oleh sesetengah pihak,” katanya.

Demi keselamatan dirinya, Ayub terpaksa menyembunyikan diri di Jeddah, Arab Saudi dan di Tanah Haram, Mekkah Al Mukarramah selama tiga tahun.

“Tetapi begitu sekali kekuasaan Allah! Jika tidak kerana persembunyian ini tentulah saya tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Saya benar-benar bersyukur kerana diberikan peluang yang sebegini hebat.

“Bagai tidak percaya, baru sehari dua mengucapkan kalimah syahadah di tanah air tetapi Rumah Allah, Kaabah itu kini berada di hadapan mata dan saya tidak mampu menahan air mata yang mengalir. Seumur hidup tidak pernah menangisi diri tetapi saya benar-benar merasakan diri ini begitu kerdil dan hina berbanding nikmat iman yang diberikan oleh-Nya kepada saya,” katanya.

Selama tiga tahun itu, Ayub mengambil kesempatan mendalami Islam dalam semua aspek terutama al-Quran bagi menambahkan keyakinan dan memberikan kekuatan sebagai seorang yang baru dalam Islam.

Hanya kebelakangan ini sahaja, Ayub memberanikan diri berdakwah secara terbuka termasuk memasuki segenap pelusuk pedalaman Sarawak dan Semenanjung bagi menyebarkan Islam sambil melakukan pelbagai kerja kebajikan.

Namun seperkara yang menarik mengenai Ayub ini apabila setiap hujung minggu, beliau ‘menukar’ statusnya sebagai pemandu pelancong.

“Hujung-hujung minggu saya pasti berada di perkarangan masjid-masjid di sekitar Kuching. Di situ saya berperanan sebagai pemandu pelancong kerana ramai menjadikan Masjid Bahagian Kuching sebagai destinasi kunjungan mereka setiap kali datang ke sini.

“Daripada mereka terjengok-jengok dan tiada sesiapa membantu untuk menjelaskan fungsi dan peranan masjid, adalah lebih baik saya menemui rombongan pelancong yang rata-ratanya warga Barat itu dan mengajak mereka masuk dan melihat sendiri keadaan dan suasana masjid,” katanya yang telah tiga kali mengerjakan haji dan bercadang ke Tanah Suci sekali lagi tahun ini.

Kebanyakan mereka ini, kata Ayub, mempunyai salah tanggapan mengenai Islam dan masjid itu sendiri. Ini termasuklah percaya terdapat patung Nabi Muhammad dalam masjid kerana menganggap baginda merupakan tuhan yang memperkenalkan agama yang mereka panggil sebagai “Muhamaddan”, golongan wanita dinafikan hak mereka untuk beribadat di masjid dan sebagainya.

“Jadi saya ajak mereka masuk dan lihat sendiri akan ‘patung’ tersebut. Ini kerana mereka mungkin menganggap ajaran Islam seperti ajaran Kristian yang terdapat patung Jesus di dalam gereja.

“Tetapi apabila mereka mendapati suasana di dalam masjid tidak seperti yang mereka sangkakan, lalu mereka kehairanan. Di sinilah saya mengambil kesempatan memberi gambaran sebenar mengenai masjid dan terangkan mengapa tidak perlu adanya sebarang patung, apa itu arah kiblat dan sehinggalah mengapa diasingkan jemaah lelaki dan perempuan.

“Apabila tiba waktu sembahyang, saya meminta mereka melihat sendiri bagaimana orang Islam sembahyang dan saya bersedia menjawab apa juga persoalan yang diajukan selepas itu.

“Begitu juga apabila kedengaran seruan azan yang mereka anggap sebagai lagu ibadat paling merdu yang pernah mereka dengar, saya akan jelas makna di sebalik ‘lagu merdu’ itu,” katanya yang menggunakan kelebihan berbahasa Jerman dan Inggeris bagi tujuan ‘dakwah’ itu.

Ketika ditemui penulis, Ayub sedang membantu seorang lagi saudara baru iaitu merupakan pelancong Finland yang menghadapi pelbagai kesukaran di sini.

Lawatannya di kampung-kampung masyarakat Melayu di sekitar Lumut, Setiawan dan Seri Manjung, Perak baru-baru ini menyebabkan lelaki Finland ini begitu tertarik kepada Islam dan terus memeluk agama itu.

“Tindakan itu menyebabkan isterinya di Finland begitu marah dan menganggap apabila suaminya itu memeluk Islam bererti dia akan menjadi pengganas serta menggalas senjata. Lalu keluarga pelancong ini memberi amaran jika dia pulang semula ke negaranya itu, dia akan mati ditembak.

“Jadi siapa sebenarnya yang ganas? Malah mereka menganggap kehadiran Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad ke negara ini baru-baru ini semata-mata untuk merekrut askar dan tentera di kalangan orang Islam di negara ini untuk tujuan keganasan. Sehingga begitu sekali tanggapan mereka mengenai Islam,” katanya yang sedang membantu mengenai kebajikan pelancong itu di sini.

Berkahwin dengan Baiti Adenan, 59, dan mempunyai dua anak lelaki, Musa, 22, dan Isa, Ayub, 20, meniti kehidupan yang lebih bermakna dan bahagia.

Menariknya, beliau lebih kerap memanggil anak-anak lelakinya itu dengan panggilan ‘Moses’ and ‘Jesus’.

“Pernah ada yang meminta kepastian dari saya, benarkah dengan menggunakan telefon bimbit saya sedang bercakap dengan Nabi Musa dan Nabi Isa?,” katanya sambil tertawa kecil.

Setiap tahun, melalui satu pertandingan, anggota-anggota Pasukan Bulan Sabit Merah (PBSM) di Kuching Sarawak akan merebut piala yang dianggap berprestij di sana, iaitu Lazaramah Viagulam Challenge Throphy. Tetapi apa kaitannya dengan Ayub?

“Piala ini sebenarnya dari saya bagi menggalakkan anak-anak muda supaya menderma darah bagi membantu Tabung Darah Negara dan nama piala itu merupakan sempena kasih sayang saya yang tidak ada tolok bandingnya lagi terhadap ibu saya yang tercinta (Lazaramah, 80).

“Ibu saya itu merupakan manusia kedua terpenting dalam hidup saya selepas Allah dan Rasul-Nya.

“Walaupun dia masih Kristian tetapi tidak ada apa yang boleh menghalang kasih sayang kami,” katanya yang begitu gembira kerana dapat berjumpa bagi meraikan hari lahir ibunya baru-baru ini.

Ayub benar-benar Muslim yang berbeza. Beliau mempunyai senarai kerja kebajikan yang panjang di Kuching. Antaranya Out Reach HIKMAH, Naib Yang Dipertua Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Sarawak, Jawatankuasa PERYATIM, Sarawak dan Perkim Sarawak.

Maka untuk mengenali beliau lebih dekat lagi, ikutilah kisah hidup Ayub yang akan ditayangkan melalui Program Kembara Iman- Saudara Baru yang akan disiarkan oleh Saluran TV Astro sempena menyambut dan pengisian rancangan untuk Ramadan tahun ini.

Utusan Malaysia 25 May 2006

Hikmah dalam Berdakwah

.
Kasih-sayang, belas-ehsan, kejujuran, kesopanan dan sepertinya adalah sifat-sifat Mukmin yang sebenar. Belajar sirah Rasulullah sebagai contoh yang terbaik. Marilah kita berusaha menjadi contoh Mukmin yang sempurna. Mudah-mudahan terbuka hati lebih ramai insan kepada Islam melalui tauladan baik yang penuh hikmah.

Sebagai contoh, pengalaman Ustaz Ayub Abdul Rahman 59, dahulunya seorang Paderi Besar Kristian yang lebih dikenali sebagai Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam dan pernah berkhidmat di Gereja St. Augustine of Canterbury, Frankfurter Jerman selama hampir 10 tahun:

“Mereka merupakan jiran yang sangat baik. Sehinggakan saya masih ingat walaupun mereka menjalani ibadat puasa Ramadan, kami sekeluarga adalah orang pertama yang akan menerima juadah berbuka puasa mereka. Mereka tidak akan berbuka selagi kami tidak menerima juadah tersebut walaupun kami bukannya beragama Islam. Ia memang satu situasi yang mengharukan”.

“Begitu juga apabila ada ahli keluarga saya sakit dan memerlukan rawatan segera ke hospital, jiran-jiran Melayu saya inilah yang akan bersusah payah menggunakan kenderaan mereka untuk membawa kami ke hospital dan mereka tidak pernah berkira. Saya kira mereka merupakan jiran terbaik yang pernah saya jumpa” kata Ayub.


~ Wawancara penuh Ustaz Ayub Abdul Rahman ,
~ Ustaz Ayub Abdul Rahman (formerly Reverend Anthony Samy)
.