Jom jadi contoh Akhlak Paling Mulia

Setiap Muslimin dan Muslimat wajib menjaga kemuliaan diri dan akhlak. Bila itu dijaga dengan cermat, maka dengan otomatik kemuliaan Islam akan terserlah.

Kerana kalau ada yang terkehel, maka jadilah sebab seekor kerbau masuk lumpur, habis semuanya terpalit dan sebab nila setitik habis susu sebelanga.

Abang2, kakak2 dan adik2.... Islam ialah agama untuk skalian alam bukan untuk orang Melayu saja. Kisah di bawah mesti dijadikan pengajaran. Cara berdakwah yang paling mudah ialah dengan menjadi contoh jiwa, diri dan akhlak mulia yang paling baik. Hidup kita sentiasa fikir baik, cakap baik dan buat baik. Dan setiap gerak ialah kerana Allah. InsyaAllah, tak jadi terkehel macam orang2 kurang mulia di bawah yang melukakan hati saudara kita.

Kepada "Insan Derita", La Tahzan Innallahama'na..... janganlah bersedih kerana Allah bersama kita. Dan saya mengaminkan doa Dang Setia untuk anda:

Hati mualaf terluka (Harian Metro)

Dang Setia, kini saya bukan lagi seorang Muslim. Saya keluar daripada Islam kerana tidak tahan dihina dan dicaci. Sebenarnya, saya memeluk Islam bukan untuk suka-suka, berkahwin atau mengharapkan bantuan mana-mana pihak.

Ketika beragama Islam, saya dihina oleh orang kampung yang berkata: “Awak ni pernah makan babi pun ada hati nak masuk Islam?” Jika di tempat saya, apa perasaan Dang Setia?
Berdasarkan pengalaman saya, ramai saudara baru mengalami masalah serupa. Kami tidak pernah menerima bantuan sepatutnya daripada jabatan agama dan sebagainya. Itu kami tidak kisah, tapi yang menyedihkan ialah layanan buruk yang kami terima.

Pernah ketika saya ke jabatan agama untuk mendapatkan bantuan kerana sudah terdesak, saya dimarah dan dihina. “Kamu saudara baru ni tak ada kerja lain ke? Hanya nak minta bantuan saja?” Apa perasaan Dang Setia jika dihina begitu?


Sebenarnya, ada keluarga bukan Islam boleh menerima anggota keluarga memeluk Islam dan ada juga sebaliknya. Seandainya keluarga membenci dan membuang kami, ke mana kami hendak pergi?


Akhir kata, kepada jabatan agama Islam, bantulah saudara baru Islam kerana mereka memerlukan bimbingan. Jangan anda hina mereka sebagaimana anda menghina dan menyisihkan saya.


Seandainya saya meninggal dunia, kepada jabatan agama, jangan uruskan mayat saya mengikut cara Islam kerana kini saya bukan lagi seorang Islam.


INSAN DERITA
Johor


Jawapan Dang Setia


Mewakili seluruh umat Islam, Dang Setia memohon jutaan kemaafan di atas segala kesulitan, kesengsaraan dan penghinaan yang anda terpaksa lalui sepanjang menjadi Muslim. Sesungguhnya Dang Setia berasa kecewa dan bersalah kerana anda terpaksa melalui pengalaman pahit itu.

Rasa bersalah dan kecewa semakin bertambah kerana anda membuat keputusan keluar daripada agama Islam yang suci dan mungkin kini kembali ke agama asal. Sangat sedih rasanya kerana itu keputusan yang anda ambil.

Dang Setia tidak mahu terlalu mudah menjatuhkan hukuman kepada sesiapa, namun berharap anda boleh berlapang dada untuk membaca pendapat Dang Setia dan membuat penilaian daripada perspektif lebih luas. Mudah-mudahan hidayah Allah akan sekali lagi melimpahi anda.

Anda mungkin berasa memiliki alasan kukuh apabila memilih untuk keluar daripada Islam, namun bagi Dang Setia, anda tidak harus meletakkan sepenuhnya segala kesalahan ke atas bahu orang lain. Sebaliknya, anda perlu turut merenung ke dalam diri dan menilai semula tindakan anda.

Dang Setia akui, orang Islam yang menghina, mencaci dan menyusahkan anda tidak patut bersikap sedemikian. Disebabkan mereka, kemurnian dan kesempurnaan Islam terjejas. Bak kata bidalan, ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’.

Malangnya, hakikat ini tidak anda sedari apabila bersikap ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’. Maksudnya, kerana marahkan sebilangan kecil individu tertentu, keseluruhan agama Islam anda salahkan dan membuangnya sebagai pegangan hidup.

Jika kita bercakap daripada perspektif pengurusan masalah, nyata anda tidak melakukan tindakan betul. Sebagai contoh, anda bekerja di organisasi yang terbukti paling hebat di pasaran kerja, menerima pendapatan lumayan dan pelbagai lagi faedah menarik.

Namun disebabkan dua atau tiga kakitangan di tempat kerja itu bersikap negatif, anda terus mengambil keputusan berhenti kerja.

Sebenarnya, contoh ini tidak 100 peratus tepat kerana hakikatnya tiada yang dapat dibandingkan dengan kesempurnaan Islam. Cuma ia Dang Setia ketengahkan untuk memberi kejelasan kepada anda.

Yang lebih penting di sini ialah Dang Setia mahu anda membuka minda dengan lebih luas mengenai Islam, baik mengenai ajarannya, begitu juga sejarah perkembangannya, termasuk cabaran getir yang dihadapi baginda Nabi Muhammad SAW serta sahabat, terutama golongan paling awal memeluk Islam.

Di dalam al-Quran, perkara ini dinyatakan apabila Allah berfirman yang maksudnya: “Apakah manusia itu mengira mereka dibiarkan saja mengatakan kami sudah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami sudah menguji orang-orang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)

Tujuan ayat ini jelas, iaitu Allah mengingatkan kita, setiap umat Islam pasti menerima ujian daripada Allah dalam pelbagai bentuk dan keadaan untuk menguji sejauh mana keimanan serta ketakwaan kita.

Maksudnya, kita tidak boleh sekadar mengaku kita seorang Islam, beriman kepada Allah dan Rasulullah SAW, tetapi apabila dihadapkan dengan ujian atau rintangan, kita mula mengeluh, menyerah kalah serta tidak mampu mempertahankan akidah.

Untuk mendapat gambaran lebih jelas, ada baiknya anda membaca buku sejarah perjuangan Rasulullah dan sahabat. Sebagai panduan, memadai Dang Setia kongsikan di sini kisah Bilal ibnu Rabah, hamba yang termasuk di kalangan tujuh orang yang pertama menzahirkan keislaman secara terang-terangan, biarpun diancam kafir musyrik.

Apabila mengetahui Bilal memeluk Islam, tuannya menyeksa Bilal dengan memakaikan baju besi dan dijemur di padang pasir yang sangat panas. Apabila ditanya pegangan agamanya, Bilal tetap mengatakan ‘Ahad! Ahad!’ (Allah Yang Esa, Yang Esa).

Bilal kemudian diseret hingga ke lereng gunung, tetapi Bilal tetap memperkatakan ‘Ahad! Ahad!’. Imannya tidak bergoncang sedikitpun. Melihatkan tiada perubahan berlaku dalam diri Bilal, mereka mempertingkatkan seksaan dengan meletakkan batu besar di atas badannya yang terjemur di tengah kepanasan matahari.

Namun tiada ucapan lain yang keluar dari mulut Bilal kecuali ‘Ahad! Ahad!’ Bilal rela mati daripada menukar pegangan agamanya yang hak kepada yang batil.

Kesimpulannya di sini, tidak syak lagi Islam sangat sempurna. Yang tak sempurnanya mungkin orang (penganut Islam). Jadi jangan dibuang atau disalahkan Islam.

Jika manusia membuang Islam, Islam tidak rugi dan tidak sedikitpun terjejas, tapi yang teramat ruginya serta menzalimi diri sendiri ialah manusia itu sendiri.

Mudah-mudahan anda mendapat pedoman dan pengajaran daripada apa yang Dang Setia paparkan di ruang yang terhad ini dan Dang Setia berdoa semoga Allah memberi petunjuk serta hidayah-Nya kepada anda untuk kembali semula kepada Islam, agama sempurna untuk dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment